Isnin, 27 Jun 2011

Info Tiket dari ProEvent

PIHAK penganjur, Pro Events International Sdn Bhd tidak bercadang menambah jumlah tiket bagi perlawanan tiga kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Liverpool dan Chelsea menentang skuad Harimau Malaya bulan depan meskipun jualan untuk ketiga-ketiga aksi itu mendapat sambutan hangat.

Pengarah Urusan, San Boon Wah berkata, pihaknya hanya akan mencetak sehingga 68,000 tiket untuk setiap perlawanan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penonton menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.


“Stadium Nasional Bukit Jalil boleh memuatkan maksimum 83,000 penonton tapi kami hanya akan menjual 65,000 tiket dan maksimum hingga 68,000 tiket. “Kalau boleh, memang kami mahu menjual tiket mengikut kapasiti penonton stadium itu tapi kami juga perlu utamakan keselamatan dan keselesaan penonton,” katanya pada sidang media majlis penyerahan tiket perlawanan dan pas latihan kepada akhbar Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times semalam.

Majlis penyerahan tiket dan pas latihan untuk pembaca ketiga-tiga akhbar itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Pro Events, Julian Kam kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP, Datuk Anthony Bujang.


Setiap pembaca perlu mengumpul 14 kepala akhbar salah satu akhbar itu dan menebusnya pada 7 Julai ini bagi mendapatkan tiket untuk perlawanan Arsenal, Liverpool (11 Julai) dan Chelsea (18 Julai).


Menurut Boon Wah, Liverpool mencatat jualan tiket tertinggi setakat minggu lalu dengan 48,000 sudah dijual, diikuti Arsenal (35,000) dan Chelsea (30,000). Beliau menjangkakan jualan tiket akan bertambah menjelang perlawanan menentang Arsenal pada 13 Julai, Liverpool (16 Julai) dan Chelsea (21 Julai).

Sementara itu, Anthony berkata, terdapat beberapa elemen yang menyebabkan penyokong tempatan tidak sabar-sabar menyaksikan perlawanan berkenaan.


“Kebangkitan Liverpool pada akhir musim lalu dan juga penampilan legenda Kenny Dalglish sebagai pengurus pasti akan menarik minat penyokong setia mereka manakala Chelsea sudah mempunyai pengurus baru (Andre Villas-Boas), semua ini menjadikan jelajah kelab itu bertambah menarik,” katanya yang juga penyokong setia Liverpool.

sumber myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan